Sejarah Penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

Pengasas-Pengasas Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu KelantanBangunan Lama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan

Penubuhan Majlis Agama Islam Kelantan sangat berkait rapat dengan latar belakang sejarah perkembangan pengajian Islam dan juga peralihan kuasa politik yang berlaku di Kelantan pada awal abad ke-20. Pada Tahun 1909, melalui Perjanjian Bangkok, negeri Kelantan bersama-sama dengan negeri Kedah, Perlis dan Terengganu diserahkan oleh Siam kepada Inggeris. Ekoran daripada perjanjian ini, seorang Penasihat British, J.S.Mason, tiba di Kelantan pada bulan Julai 1909. Perkembangan dan pembaharuan yang dilaksanakan oleh J.S.Mason dalam bidang pentadbiran dan keagamaan negeri ini, menyebabkan beberapa orang cerdik pandai Kelantan pada masa itu memikirkan bahawa satu institusi khusus perlu ditubuhkan bagi menjaga dan mentadbir urusan keagamaan di peringkat negeri Kelantan. Bertolak daripada sinilah, idea penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan mula dicadangkan dan digerakkan.

Sejumlah 12 orang telah dilantik oleh Baginda bagi menjadi anggota Majlis pada hari perisytiharan itu. Mereka ialah:-

  1. Haji Nik Mahmud Bin Nik Ismail (Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja)
  2. Haji Muhammad Bin Khatib Hj Muhammad Said (Dato' Laksamana)
  3. Haji Awang Muhammad Yusuf bin Ahmad (Tok Kenali)
  4. Muhammad Ghazali Arifin (Dato' Bentara Luar)
  5. Nik Jaafar Hj. Nik Abdul Kadir (Dato' Bentara Dalam)
  6. Tengku Abdul Rahman bin Sultan Muhammad III
  7. Haji Wan Muhammad Hj. Abdul Samad
  8. Haji Muhammad Said Jamluddin
  9. Haji Wan Abdullah Hj. Abdul Samad
  10. Muhammad Daud @ Che' Wook bin Salim
  11. Nik Wan Muhammad Amin Wan Musa
  12. Tambi Omar bin Tambi Kechik

Persetujuan kemudian dicapai bagi melantik Tengku Muda Hasan bin Tengku Mahmud, Hakim Mahkamah Tinggi Kelantan pada masa itu, dan menantu kepada KDYMM al-Sultan, menjadi yang Di Pertua Majlis yang pertama.

Selepas penubuhannya, pejabat Majlis buat sementara waktu ditempatkan di tingkat atas bangunan Pejabat Tanah Kota Bharu, dihadapan Istana Balai Besar, Kota Bharu. Pada 19 Ogos 1917, bangunan itu berpindah ke bangunan sendiri iaitu di sebuah bangunan kayu disebelahan Masjid Muhammadi. Majlis akhirnya berpindah ke bangunan baru bertempat di Kompleks Islam Darul Naim, Lundang, Kota Bharu, Kelantan pada 16 Februari 1990 hinggalah sekarang.